Monday 25 October 2010

Penyusuan ekslusif dari sudut Islam

Kali ini saya ingin berkongsi pengalaman peribadi menyusukan ketiga-tiga anak saya. Semoga sedikit sebanyak dapat membantu para ibu yang bakal melahirkan anak pertama ataupun berhajat untuk menyusukan anak sepenuh masa di masa akan datang.

Terlebih dahulu ingin saya kupaskan di sini aspek penyusuan ibu dari kacamata Islam. Sememangnya telah termaktub di dalam Al-Quran berkenaan dengan penyusuan.

"Dan ibu-ibu hendak lah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap, iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu..." (2:233).

Ayat di atas menegaskan betapa Islam menitikberatkan penyusuan di kalangan umatnya. Islam menggariskan bahawa bayi perlu disusui sehingga berusia dua tahun. Namun ini bukanlah mandatori kepada semua ibu-ibu. Tetapi setiap apa yang termaktub di dalam Al-Karim sudah semestinya ada hikmah di sebaliknya. Ini telah dikuatkan dengan bukti-bukti saintifik telah berkenaan kebaikan susu ibu berbanding dengan susu formula di pasaran.

Di samping itu, peranan bapa juga ditekankan oleh Islam dalam memastikan penyusuan dapat direalisasikan seperti yang tercatat di dalam Al-Quran:

"Dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya .... kemudian jika kekdua-duanya (suami isteriP mahu menghentikan penyusuan itu(sebelum dua tahun) dengan persetujuan mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidak salah (melakukannya)" (2:233).

Di sini telah dinyatakan dengan jelas tanggungjawab bapa dalam membantu ibu menyusukan anaknya. Bapa perlu menyediakan segala kelengkapan yang diperlukan ibu untuk menyusu ini termasuklah makanan yang berkhasiat, pakaian dan peralatan lain seperti pam susu, bekan simpanan susu dan sebagainya. Ibu juga tidak patut dibebani dengan kerja-kerja lain yang boleh mengganggu proses penyusuan tersebut.

Secara ringkasnya, susu ibu adalah hak bayi. Menyusukan anak adalah amanah yang diberikan oleh Allah kepada kaum wanita yang bergelar ibu. Samada wanita yang bergelar ibu tersebut menggalas tanggungjawab yang diberikan itu dengan sempurna atau tidak, terserahlah kepada budibicara masing-masing.. Allahu a'lam

Rujukan:

Mahmud Yunus (2008).Tafsir Quran Karim. Malaysia: Klang Book Centre.
www.susuanibu-pk.gov.my
www.susuibu.com