Kesihatan Mak membimbangkan bermula 2 tahun yang lalu. Beliau telah ditahan di HB Ipoh kerana paru-parunya di masuki air.
Semenjak dari itu kesihatan beliau semakin menurun. Kehilangan Cho pada 27 Julai 2008 menjadikan keadaan Mak semakin teruk.
Selain menghidapi penyakit kencing manis yang teruk (Mak terpaksa bergantung dengan suntikan insulin 2 kali sehari), Mak juga disahkan mengalami penyakit batu dalam hempedu, barah hati selain daripada fungsi buah pinggang, jantung di tahap paling minimum.
Kami adik-beradik pulang bergilir2 ke Tapah untuk menjenguk Mak. Tetapi Abang Teh lah orangnya yang menjaga Mak secara esklusif jika dibandingkan dengan adik-beradik yang lain.
30 September 2008 (sehari sebelum Syawal)
2 minggu sebelum pemergian Mak, jari manis kaki kiri mak yang telah di jangkiti kuman beberapa minggu yang lepas menjadi kehitam-hitaman. Pada petang sehari sebelum raya, Abang Teh dan Abang Uda (suami kakak saya) serta Huda, adik saya telah membawanya ke Hospital Teluk Intan untuk rawatan selanjutnya. Doktor mengesahkan bahawa jari kakinya terpaksa dipotong serta-merta kerana gangren basah. Pembedahan terpaksa dijalankan pada hari itu juga.
Saya dan suami menyusul selepas itu membawa dokumen yang diperlukan kerana Abang Teh tertinggalnya di Tapah. Huda menemani Mak malam itu kerana pembedahan akan dilakukan pada malam itu juga.
Menurut doktor, seandainya Mak bernasib baik hanya jari yang dijangkiti akan dipotong, sekiranya tidak, beliau terpaksa memotong kedua-jari manis dan kelingking Mak. Kami sekeluarga mendoakan yang terbaik untuk Mak.
1 Oktober 2008 (1 Syawal)
Alhamdulillah Mak dibenarkan balik ke rumah tengahari Raya. Hati saya tersentuh dan sayu apabila menyambut Mak dari Hospital. Mak kelihatan sugul dan tertekan- mungkin kerana kesakitan yang dialami dan mungkin juga kerana mengetahui jari manisnya telah hilang.
Hari-hari selepasnya, luka Mak kena cuci setiap hari...
15 Oktober 2008
Alang memaklumkan bahawa kondisi kaki mak semakin teruk.. Mak dimasukkan semula ke Hospital Teluk Intan untuk mendapatkan nasihat doktor
16 Oktober 2008
Mak berada di Hospital Teluk Intan, Alang dan Abang Teh menemani Mak. Dan Doktor sahkan yang kaki Mak kena potong hingga ke pangkal lutut kerana kuman sudah menjangkiti bahagian tersebut. Saya menerima berita tersebut ketika dalam perjalanan ke Hospital Teluk Intan.
Apabila sampai di sana, Mak kelihatan menanggung kesakitan yang amat sangat.. tersentuh hati saya melihat penderitaan.. Saya sempat menunggu Mak sehingga petang sementara Abang Teh dan Alang menguruskan proses pembedahan Mak. Mak tidak banyak bercakap hanya memejamkan matanya sahaja..
Satu berita yang agak gembira diterima. Abang Teh memaklumkan bahawa urusan pengambilan seorang pembantu (bibik) untuk menjaga Mak dapat dipercepatkan. Pembantu tersebut melapor diri pada hari ini juga tetapi Abang Teh dan Alang kena mengambilnya di Lumut. Alhamdulillah..
Mak amat menderita selepas menjalani pembedahan kakinya. Ini kerana doktor hanya memberi sedikit ubat bius dan Mak tidak boleh mengambil ubat tahan sakit selepas pembedahan kerana kanser hatinya semakin teruk.
24 Oktober 2008
Keadaan Mak semakin teruk. Alang menyarankan saya pulang melawat Mak. Saya menelefon Kak Uda dan memaklumkan keadaan Mak.
25 Oktober 2008
Kondisi Mak semakin membimbangkan. Perut Mak semakin membesar dek kerana barah hatinya. Mak kerap merintih kesakitan. Mak kerap meminta dan merayu untuk dibangunkan. Kami tidak dapat mendudukkan Mak kerana perutnya terlalu besar dan akan mendatangkan kesakitan padanya.
Pada petang itu kami semua bergilir2 membacakan surah Yaasin ke atas Mak. Chu (adik bongsu Mak) menyuruh saya membacakan surah Ar-Ra'd. Menurut Chu, surah ini memudahkan sakaratul maut. Dengan berlinangan air mata saya membacakan surah ini kepada Mak.
Hati saya berdetik dan berdoa kepada Allah, sekiranya kesakitan yang Mak alami ini berkesudahan dengan kematian Mak, maka permudahkanlah urusan Mak. Saya sekeluarga redha dengan Qada' dan Qadar Nya. Sudah lama Mak menderita.. saya tidak sanggup melihat kesengsaraan yang ditanggung....
Abang Teh, Abang Cik dan Kak Zan (isteri sepupu saya) pergi ke klinik berhampiran dan meminta pandangan doktor. Doktor memaklumkan, jangka hayat Mak dapat dipanjangkan ke 3 minggu sekiranya dibawa ke hospital tetapi 3 hari sebaliknya. Oleh yang demikian kami adik-beradik yang berada di Tapah - Kak Nah(isteri arwah Cho), Kak Uda, Abang Teh, Andak, Abang Cik dan saya memutuskan untuk tidak menghantar Mak ke hospital.
Apalah gunanya memanjangkan hayat Mak sekiranya Mak menanggung penderitaaan..
'Maut itu tidak akan sesaat cepat ataupun lambat'
Tepat 10.50 malam, mak menghembuskan nafasnya yang terakhir dengan penuh ketenangan... Alhamdulillah.
AL-FATIHAH BUAT BONDA ZAINUN HJ ZAKARIA